….nasihat untuk mereka yang belum menganggotai mana-mana tarekat sufi..
Pastikan zikir itu bersumberkan daripada nas yang jelas sama ada Al-Quran atau hadith sahih. Zikir yang tidak ada di dalam Al-Quran dan hadith sahih tidak dapat dipastikan adakah maksudnya benar. Kenapa anda perlu meninggalkan zikir yang telah ada di dalam Al-Quran dan hadith sahih?
Berhati-hati dengan niat anda berzikir. Adakah kerana inginkan keredhaan dan ganjaran Allah SWT atau inginkan keramat atau keajaiban? Atau zikir kerana ingin dilihat sebagai seorang yang kuat beribadah (riya’)?
Jangan berzikir sehingga meninggalkan tanggungjawab lain yang lebih utama mengikut waktu seperti tanggungjawab terhadap keluarga, pekerjaan, ibu bapa, suami atau isteri dan sebagainya.
Sentiasa ingat bahawa zikir bukan semata-mata sebutan lidah, tapi juga penghayatan maksud di dalam hati. Zikir bermaksud untuk mengingati Allah SWT dalam keadaan sedar, bukan berzikir sampai hilang ingatan.
Anda boleh berzikir secara individu di mana-mana tempat yang suci. Tidak perlulah anda mencari majlis khas untuk berzikir dengan pimpinan/khalifah tertentu.
Berzikirlah dalam keadaan yang tenang dan jangan pula ‘naik syeikh’ sampai terlompat-lompat dengan pergerakan yang ganas kerana zikir Rasulullah SAW dan para sahabat penuh dengan ketenangan.
Pastikan hidup anda selaras dengan syariat iaitu cuba sedaya upaya mematuhi perintah Allah SWT dan berusaha sedaya mampu meninggalkan laranganNya. Jangan kuat berzikir tetapi tak peduli tentang hukum-hakam.
Jangan berzikir dengan bercampur aduk lelaki dan perempuan ajnabi dalam keadaan yang tidak ada batasan.
Janganlah berzikir sampai mencederakan mana-mana anggota badan seperti menghentakkan kaki atau tangan ke lantai dengan kuat. Islam tidak pernah menyuruh kita menyeksa diri.
Jangan berzikir dengan suara yang terlalu kuat atau kasar sehingga mengganggu orang lain (terutama ketika di masjid dan ada orang sedang solat) dan menghilangkan tumpuan diri anda sendiri.
Jangan mempercayai ganjaran zikir kecuali jika ganjaran itu ada di dalam Al-Quran atau hadith sahih. Contohnya, ‘sesiapa yang bertasbih 1000 kali, akan dapat ilmu dari malaikat’. Walaupun bertasbih adalah sunnah yang diajar oleh Rasulullah SAW, namun tidak ada hadith sahih yang menyatakan bahawa ganjaran ini akan didapati apabila anda bertasbih.
Kalau mengantuk, tidurlah, kalau lapar, makanlah dan kalau letih, berehatlah. Jangan memaksa diri untuk berzikir. Islam itu mudah dan memudahkan. Jangan pula menggoyangkan badan dengan ganas hanya kerana ingin menghilangkan rasa mengantuk.
Selamat berzikir !
No comments:
Post a Comment