Monday, April 21, 2008

Imam Malik bin Anas.

Imam Malik bin Anas adalah pengarang kitab al-Muwattha'. Nama sebenar beliau ialah Abu Abdillah Malik bin Anas bin Malik bin Abi 'Amir (atau nama sebenarnya Nafi') bin 'Amru bin al-Harith bin Ghaiman bin Khuthail bin 'Amru bin al-Harith. Beliau juga lebih dikenali dengan gelaran Imam Darul Hijrah.

Imam Malik adalah salah seorang daripada imam-imam mazhab empat yang terkenal iaitu Imam Abu Hanifah, Imam As-Syafie, dan Imam Ahmad bin Hanbal, yang mana mazhab beliau yang dikenali sebagai mazhab Maliki. Beliau dilahirkan di Madinah pada tahun 93Hijrah, bersamaan 713Masihi dan wafat pada 14 Rabi'ul Awal, 179Hijrah ketika umurnya 87 tahun.

Beliau adalah seorang muhaddith dan faqih yang terkenal pada zamannya. Beliau membesar dan menuntut ilmu sepenuhnya di Madinah, kota yang dipenuhi dengan ulama-ulama besar. Oleh kerana keluarga beliau termasuk diantara ahli-ahli hadis, imam malik juga menceburkan diri didalam bidang hadis. Beliau mula mempelajari ilmu-ilmu agama khususnya hadis dengan Abu Suhail Nafi'. Beliau juga pernah berguru dengan Ibnu Syihab Az-Zuhri, Abu al-Zinad, Ibnul Mukandir, Yahya bin Said, Hisyam bin Urwa, Zaid bin Aslam, Rabi'ah bin Abu Abdul Rahman, Ja'far bin Muhammad as-Sadiq dan ramai lagi.

Imam Malik telah menguasai pelbagai ilmu pada usia yang muda. Kemudian beliau mengambil alih untuk mengajar di Masjid Nabawi. Pada masa yang sama, beliau juga menjadi mufti di Madinah. Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat berhati-hati dalam menghukum atau mengeluarkan fatwa. Majlis ilmu yang disampaikan oleh imam malik dihadiri oleh para tabiin dan tabi' tabiin dari timur dan barat. Antara ulama terkenal yang pernah belajar dengan beliau ialah Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie. Murid-murid beliau yang lain ialah, Laith bin Saad, Ibnu Uyainah, Yahya bin Said al-Qatthan, Abu 'Asim, Abu al-Walid at-Toyalisi, Yahya bin Yahya An-Naisaburi, Said bin Mansur dan ramai lagi.

Imam Malik terkenal dengan kitanya iaitu al-Muwattha'. Kitab ini adalah kitab hadith dan juga fiqh. Imam Malik mengumpulkan hadith-hadith yang 'kuat' dari penduduk Hijaz, Imam Malik juga memasukkan kata-kata sahabat dan juga fatwa-fatwa tabi'in yang kemudiannya disusun mengikut bab-bab fiqh seperti bab taharah, bab solat dan bab zakat. Imam Malik mengambil masa lebih kurang 40tahun untuk menyiapkan kitab ini yang menjadi rujukan umat Islam sehingga kini.

No comments: